Sunday, 6 May 2012

NUFC 2012: Awas City !

Newcastle melaungkan amaran akan memberikan tentangan sengit kepada Manchester City dalam usaha menjamin tempat dalam Big Four sehingga akhir musim ini.

Pengurus Newcastle, Alan Pardew berkata, kemenangan ke atas City akan menguatkan lagi peluang Magpies untuk mengakhiri musim liga dalam empat teratas, sekali gus akan melayakkan mereka ke Liga Juara-Juara buat pertama kali.

''Kemenangan ke atas City ini juga sebagai penghargaan kepada bekas pengurus, Bobby Robson,'' kata Pardew mengulas pertemuannya dengan City yang terdesak memerlukan kemenangan ini untuk menjulang kejuaraan liga."

Pardew menambah, City jangan harapkan tentangan mudah berdepan Newcastle kerana penyerangnya dari Senegal, Papiss Cisse akan menjadi batu penghalang buat mereka.

''Papiss akan menghantui mereka (City), peranan dialah yang akan menentukan peluang City untuk menjulang gelaran musim ini. Keyakinan Papiss buat masa ini sangat tinggi,'' kata Pardew mengulas kehebatan anak buahnya itu yang setakat ini telah menjaringkan 13 gol daripada 12 perlawanan sejak dibeli dari Freiburg, Januari lalu.

Pardew yang turut merasai pengalaman membimbing Carlos Tevez semasa di West Ham berkata, penampilan Tevez berbeza jika dibandingkan dengan Cisse.

Jelasnya, Tevez ibarat memerlukan penjagaan kos yang tinggi dan karakternya tidak mudah mesra.

''Untuk enam bulan pertama musim ini, Manchester City merupakan pasukan terbaik dalam Liga Perdana."

''Mereka kemudian kehilangan arah sebelum kembali semula ke laluan kejuaraan dan kebetulan Tevez kembali semula ke pangkuan pasukannya itu."

''City tampak gagah selepas kepulangan Tevez,'' ujar Pardew.

Penyerang Argentina itu bertindak meninggalkan City untuk tempoh tiga bulan selepas 'berperang' dengan pengurus City, Roberto Mancini ekoran keengganannya melakukan latihan pemanas badan sebelum perlawanan menentang Bayern Munich dalam saingan Liga Juara-Juara.

''Saya suka Tevez sebagai seorang pemain dan individu. Dia seorang pemain yang hebat semasa di West Ham. Namun, berlainan keadaannya di City,'' ujarnya.

Dalam pada itu, Pardew memberitahu, Demba Ba yang belum lagi menjaringkan gol sejak pulang dari Kejohanan Piala Negara-Negara Afrika mempunyai peranan penting bertemu City hari ini.

Demba Ba mungkin akan bermain di sebelah sayap dalam percaturan formasi 4-3-3 atau 4-2-3-1 Pardew.

''Saya tahu peranan Demba Ba berkurangan sejak kedatangan Papiss. Namun, kami mempunyai semangat yang bagus di sini. Demba Ba akan berperanan membantu Papiss menjaringkan gol,'' tambah beliau.

Dalam pada itu, Pardew sedar pasukannya perlu berada pada tahap terbaik untuk menewaskan anak-anak buah Mancini. - Agensi

No comments: