Monday 30 April 2012

Kedah FA 2012: Perlu gandakan usaha menangi Piala FA


Wan Jamak menggesa Kedah untuk peka dengan kedudukan ini dan menggandakan usaha di Alor Setar, 1 Mei depan.


Barisan pemain Kedah tidak boleh terlalu teruja dengan keputusan seri 1-1 ketika bertemu Kelantan pada perlawanan separuh akhir pertama Piala FA kelmarin kerana masih ada baki 90 minit perlawanan yang perlu dilalui, dan hanya kemenangan di Stadium Darulaman akan memastikan mereka untuk melangkah ke final di Stadium Shah Alam.


Bagi ketua jurulatih skuad Hijau Kuning, Wan Jamak Wan Hassan, barisan pemainnya berjaya menghampakan barisan serangan Kelantan di hadapan 25,000 penyokong tuan rumah di Kota Bharu tetapi satu kesilapan telah membuka ruang kepada lawan merobek gawang Kedah. Namun pemain import dari Croatia, Vedran Gerc menjaringkan gol untuk memadamkan kelebihan lawan.


"Kami menyedari memiliki kelebihan jaringan di gelanggang lawan tetapi kelebihan akan terpadam jika Kelantan menjaringkan gol pada separuh akhir kedua nanti.


"Anak buah saya perlu peka dengan kedudukan ini dan menggandakan usaha di Alor Setar, 1 Mei depan," kata Wan Jamak.


"Kecemerlangan barisan pertahanan termasuk penjaga gol, Helmi Eliza Elias "Mie Yeh" berjaya menghampakan cubaan barisan penyerang lawan semalam (kelmarin), tetapi bahagian serangan dan tengah perlu meningkatkan persembahan demi memantapkan lagi permainan kita," katanya.


Wan Jamak berkata, rehat selama 10 hari sebelum separuh akhir kedua, memberi peluang kepada pemain untuk pulih daripada kecederaan dan menyediakan diri secara fizikal dan mental.

"Dalam masa dua hari lagi (Selasa), saya akan dapat mengetahui sama ada tonggak, Safi Alfatah dan pemain pertahanan, V Thirumurugan mampu beraksi pada perlawanan separuh akhir kedua nanti. Kehadiran mereka pasti akan memantapkan lagi prestasi kita," katanya.

No comments: