Walaupun berlaku perselisihan faham antara pemain import Kedah, Marlon Alex James dan pihak pengurusan mengenai isu kontrak tetapi ia tidak menghalang pemain itu untuk beraksi cemerlang.
Ketua Jurulatih Kedah, Mohd. Azraai Khor Abdullah berkata, sikap profesional pemain dari Saint Vincent and the Grenadines itu membawa kemenangan yang bermakna buat pasukan Kenari, tambahan pula dengan jaringan hatrik yang dilakukan Marlon.
”Saya akui pada awal babak pertama semalam pemain masih belum mendapat rentak sebenar dan terbawa-bawa masalah yang dihadapi ke dalam padang,” kata Azraai.
Jelasnya, walaupun ketinggalan dengan satu gol dia masih yakin pemainnya mampu untuk melakukan sesuatu tambahan pula tiada masalah kecederaan pemain.
”Saya menasihatkan mereka pada separuh masa kedua supaya terus menekan kubu pertahanan Johor FC dan akhirnya kami berjaya terutama sekali menerusi kecemerlangan Marlon.
”Saya puji persembahan Marlon dia bermain bersungguh-sungguh dan memporak-peranda pemain pertahanan lawan walaupun berlaku salah faham antara dia dan pihak pengurusan,” kata Azraai.
Ujarnya, Marlon sudah jelas dengan masalah yang berlaku dan mengenepikan segalanya, termasuk pemberitahuan larangan pemain import oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
”Dia sudah mengetahui mengenai larangan pemain import musim depan tetapi masih mampu untuk mempamerkan permainan terbaik, saya rasa antara yang paling terbaik musim ini.
”Saya juga puji dengan persembahan pemain lain tanpa hantaran dan gerakan mereka mungkin Marlon juga sukar untuk menjaringkan gol, semuanya bekerja keras untuk menang,” katanya.
Azraai juga memuji pemain tempatan yang bertindak cemerlang semalam untuk mencari kemenangan berharga bagi mengelak dari bertemu Selangor di peringkat suku akhir.
”Pemain seperti Mohd Sabree Mat Abu dan ‘Mie Yeh’ (penjaga gol, Helmi Eliza Elias) juga bertindak cemerlang dan mengikuti segala arahan yang saya sampaikan.
”Saya juga menjangkakan perlawanan suku akhir bertemu Perak nanti bukan satu yang mudah, mereka mempunyai pemain yang berpengalaman dan hebat, tambahan pula kami bermain perlawanan pusingan pertama di tempat sendiri dan selepas itu akan ke Perak,” kata Azraai.
Tambahnya, walaupun mereka perlu menghormati pasukan berpengalaman seperti Perak tetapi bekalan selesa di tempat sendiri perlu menjadi keutamaan.
No comments:
Post a Comment