Wednesday, 6 August 2008

Kedah FA 2008: Tiada masalah hentikan khidmat pemain import


Kedah dan Sabah tidak menghadapi masalah melepaskan pemain import selepas Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM) tidak lagi membenarkan khidmat mereka digunakan dalam saingan Liga Malaysia musim 2009.
Malah kedua-dua pasukan lega kerana tidak perlu membelanjakan wang yang banyak untuk membayar gaji mereka.
Pengurus Kedah, Datuk Othman Aziz berkata, pasukannya mengikat kontrak dengan pemain import dari setahun ke setahun dan bukannya untuk tempoh yang panjang.
“Kami memang amalkan cara seperti ini kerana sekiranya ada masalah, kita boleh menamatkan khidmatnya selepas satu musim jika tidak berpuas hati dengan prestasi mereka.
“Untuk musim 2008 dan saingan Piala Malaysia yang akan berakhir bulan ini, kontrak pemain import kami akan tamat pada 31 Ogos ini,” katanya.
Sehubungan itu, pihaknya tidak perlu memikirkan langsung untuk membayar ganti rugi kepada pemain import sebaliknya boleh memberi lebih tumpuan kepada pemain tempatan.
“Kami memang sudah bersedia untuk beraksi tanpa pemain import. Baru-baru ini juga, tanpa pemain import yang pulang mewakili negara mereka, Kedah masih mampu mencatat kemenangan,” tegasnya.
Sementara itu, Sabah juga tidak menghadapi masalah untuk melepaskan pemain import mereka yang juga telah tamat kontrak lebih awal.
Pengurus pasukan, Abdul Rahman Datuk Zakaria ketika dihubungi berkata, seperti Kedah, Sabah juga mengikat kontrak dari setahun ke setahun bagi mengelakkan berlakunya pembaziran.
“Kami bayar gaji mereka tinggi berbanding pemain tempatan tetapi adakalanya kualiti mereka tidak setanding dengan bayaran yang mereka terima.
“Jadi ada baiknya FAM menghentikan khidmat pemain import ini dalam Liga Malaysia supaya duit yang ada itu digunakan untuk melahirkan bakat-bakat baru,” katanya.

No comments: