PENYERANG muda pasukan Kedah, Khyrill Muhymeen Zambri teruja dengan kejayaan pasukannya mengatasi Johor FC 4-1 di Stadium Darulaman kelmarin walaupun dia gagal mencatatkan namanya sebagai penjaring.
Menurutnya, dia gembira kerana Kedah bangkit daripada ketinggalan satu gol seawal minit kedua untuk memastikan kemenangan yang meletakkan mereka di tempat teratas Kumpulan B dan bertemu Perak pada saingan suku akhir Piala Malaysia, Rabu ini.
“Saya tidak peduli sama ada dapat mencatatkan nama sebagai penjaring kerana kejayaan Kedah adalah matlamat utama.
“Kini tumpuan kami adalah untuk mengatasi Perak pada suku akhir pertama di Alor Star, Rabu ini dan saya juga mahu memastikan kemenangan diraih akan dapat memudahkan laluan kita pada perlawanan kedua di Ipoh, Sabtu depan,” katanya.
Sementara itu, Azlan Ismail gembira dapat menyumbang satu gol untuk Perlis menewaskan Johor Pasir Gudang (Johor PBT) 2-1.
“Saya berterima kasih kepada jurulatih kerana memberi kepercayaan kepada saya untuk menggalas cabaran pada perlawanan itu, walaupun sebagai pemain gantian,” katanya.
Pemain berusia 25 tahun itu masuk menggantikan Chipeta m-70 tidak menghampakan kepercayaan jurulatih apabila meledakkan gol tujuh minit selepas dimasukkan.
Dalam pada itu, kemenangan Terengganu ke atas Sarawak tidak menghadirkan rasa gembira pengurus pasukan, Shaikh Ahmad Tajuddin Yusof.
Menurutnya, pemain Terengganu seolah-olah hilang punca selepas mendahulu 3-0 sebelum membenarkan dua gol dijaringkan lawan.
“Mereka tidak boleh leka dan membiarkan lawan mengasak kubu tuan rumah dan lihatlah, akhirnya kita nyaris berkongsi mata,” katanya.
Terengganu akan berdepan Perlis pada suku akhir pertama Rabu ini.
No comments:
Post a Comment