Tuesday, 27 November 2012

Mental Harimau Malaya lemah

BEKAS tonggak skuad Piala Tiger 1996, K Sanbagamaran menyifatkan aksi longlai pasukan negara dalam perlawanan pertama peringkat Kumpulan B kelmarin, disebabkan kurang persediaan mental.

Beliau yang pernah beraksi di posisi tengah ketika bersama skuad kebangsaan juga percaya, harapan tinggi penyokong terhadap Harimau Malaya turut menambah beban anak didik Datuk K Rajagobal.
“Mereka seakan gagal menyerap tekanan bukan sahaja dari pasukan Singapura, malah penyokong sendiri.

"Secara keseluruhan mereka gagal mempamerkan aksi sebenar yang mana kita sendiri tahu kebanyakan dari pemain semalam (Ahad) merupakan pemain sama memenangi Piala AFF Suzuki 2010,” katanya kepada Sinar Harian.

Pada masa sama, pemain kedua terbanyak menjaringkan gol buat Malaysia pada 1996 itu juga berpendapat, tempoh saingan Liga Malaysia yang panjang turut menjadi punca aksi kurang berkesan pemain Harimau Malaya.

“Kurang rehat terutama selepas berdepan empat perlawanan persahabatan dalam masa sebulan menyebabkan mereka kurang stamina dan hilang momentum.

“Kekalahan ke atas Singapura bukanlah kesilapan individu, sebaliknya harus dipertanggungjawabkan kepada semua,” katanya.

Sementara itu, sedar kritikan tertumpu kepada Rajagobal, Sanbagamaran bagaimanapun tidak mahu meletakkan kesalahan di bahu Rajagobal.

“Sekiranya beliau tidak bagus, sudah tentu kita tidak dapat menikmati apa yang kita ada sekarang. Kita (penyokong) sepatutnya berfikiran positif dan jangan bertindak melulu,” katanya.





No comments: