Friday, 4 May 2012

NUFC 2012: Bimbang ancaman Newcastle

Pengurus Manchester City, Roberto Mancini mengingatkan pemain supaya berwaspada dengan ancaman pasukan yang berada pada prestasi terbaik, Newcastle apabila mereka beraksi di padang lawan Ahad ini.
City menang 1-0 ke atas juara bertahan Manchester United pada pertembungan derby yang mendebarkan di Eastlands Isnin lalu, yang menyaksikan mereka merampas takhta liga berdasarkan perbezaan jaringan ketika baki dua perlawanan.

Namun Newcastle, yang memburu slot layak ke Liga Juara-Juara, sekali lagi mempamerkan kualiti dengan menang 2-0 di padang lawan ke atas Chelsea, semalam.

Pada perlawanan tersebut, penyerang Senegal, Papiss Demba Cisse menjaringkan dua gol, iaitu jaringan ke-13 dalam 12 perlawanan untuk Magpies sejak menyertai Newcastle dari kelab Jerman, Freiburg Januari lalu.

"Newcastle bakal menjadi perlawanan paling sukar buat kami, lebih sukar berbanding ketika menentang United."

"Ia memang agak aneh tetapi inilah yang kami harus hadapi."

"Mereka melalui musim yang menakjubkan dan beraksi demi untuk layak ke Liga Juara-Juara. Pengurus mereka adalah antara yang terbaik dalam liga ini, jadi ia bakal menjadi perlawanan yang sukar," tegas Mancini.

City perlu menang baki dua perlawanan iaitu menentang Newcastle dan QPR jika mahu menjulang trofi liga buat pertama kali dalam tempoh 44 tahun.

Mancini tetap menyifatkan United, yang berdepan Swansea dan Sunderland pada dua perlawanan terakhir, tetapi menjadi pilihan untuk mengekalkan kejuaraan.

Mancini menegaskan skuad Alex Ferguson berdepan dua perlawanan mudah.
Kata Mancini: "Kami belum selesai apa-apa lagi. Kami di tangga teratas namun kami harus menang baki dua perlawanan."

"Kami harus beraksi dengan baik dan kami perlu menjaringkan gol jika mahu menang. United sudah pasti akan mendapat enam mata."

"Kami gembira dengan sokongan peminat namun adalah penting penyokong tidak fikir ia sudah berakhir. Kami harus beraksi dengan tenang." - REUTERS

No comments: