Tuesday, 15 May 2012

Kedah FA '12: Wan Jamak abai desakan penyokong


HANYA jauhari mengenal manikam! Masih mempercayai kemampuan penjaga gol utamanya, Helmi Eliza Elias, pengendali Kedah, Wan Jamak Wan Hassan enggan menjadikan desakan serta kritikan penyokong sebagai dorongan untuk menggantikannya dengan penjaga gol simpanan.
  • Tidak menafikan hak penyokong untuk menyuarakan pendapat, Wan Jamak bagaimanapun masih lagi mahu memberikan peluang kepada bekas penjaga gol kebangsaan itu mes­kipun ramai yang berpendapat Helmi tidak berjaya menunjukkan prestasi cemerlang dalam beberapa perlawanan.
  • “Jangan hanya kerana beberapa kesilapan, kita terus menghukum seseorang itu. Sebagai jurulatih, saya lebih me­ngenali pemain di bawah kendalian saya,” katanya yang turut memuji prestasi Helmi terutama ketika pertemuan dengan Lions XII, Sabtu lalu.
  • Dalam perkembangan lain, bimbang de­ngan prestasi tidak konsisten pasukannya, Wan Jamak mengakui pening memikirkan masalah tersebut lebih-lebih lagi apabila terpaksa turun tanpa dua tonggak, Amar Rohidan dan Khairul Helmi Johari yang digantung satu perlawanan selepas menerima dua kad kuning.
  • Tidak boleh menerima sebarang kekalahan lagi, jurulatih berusia 54 tahun itu mengingatkan pasukannya agar mengekalkan rentak kecemerlangan sekiranya ingin terus kekal dalam saingan Liga Super musim depan.
  • “Malam ini merupakan perlawanan penentuan buat kami untuk mengutip mata penuh bagi mengubah kedudukan lebih-lebih lagi apabila hanya berbeza satu mata dengan pihak lawan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
  • Berada ditangga ke-11 dengan 18 mata diatas PKNS, Wan Jamak turut meletakkan harapan kepada pemain import Croatia, Vedran Gerc yang berjaya menyumbang lima gol sejak penampilan pertamanya menentang Sarawak pada April lalu bagi memperkuatkan jentera sera­ngan pasukan.

Norashikin Leman, Sinar Harian.

No comments: