KUALA LUMPUR – Dua tahun menyepi daripada skuad Harimau Malaya, nama Mohd. Sabre Mat Abu akhirnya kembali menggamit perhatian pengendali skuad Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal untuk disenaraikan.
Seiring dengan peningkatan prestasi yang ditunjukkan bersama skuad Kedah musim ini, pemilihan Rajagobal menyenaraikan Sabre atau lebih dikenali ‘Adigun’ jelas amat bertepatan selepas pulih daripada kecederaan jangka panjang buku lali yang dialaminya tahun lalu.
”Pada mulanya seperti tidak percaya nama saya kembali disenaraikan kerana sudah dua tahun tidak dipanggil.
”Siapa yang tidak mahu bermain dengan skuad kebangsaan, saya sentiasa menunggu akan peluang ini setiap masa cuma rezeki belum memihak.
”Jika jurulatih memilih saya untuk diturunkan dalam mana-mana perlawanan, saya bersedia memberikan segalanya bagi membantu kejayaan skuad negara,” katanya yang ditemui selepas sesi latihan sulung skuad kebangsaan di Wisma FAM, semalam.
Sabre dikenali sebagai pemain serba boleh kerana mampu bermain pada mana-mana posisi di bahagian pertahanan sama ada kiri atau kanan, bahagian tengah dan sayap.
Kehadirannya pasti akan memberikan cabaran kepada Asraruddin Putra Omar dan Mahalli Jasuli yang beraksi di posisi bek kiri dan kanan.
Ketika Sabre tersenyum riang dapat kembali menyertai skuad kebangsaan, nasib berbeza menimpa rakan sepasukannya dari Kedah, Khyril Muhymeen yang ditimpa masalah cedera otot paha lantas menjejaskan kembali peluangnya untuk bermain bertemu Filipina, 1 Jun ini.
”Kecederaan ini saya dapat pada perlawanan terakhir dengan PKNS dan masih belum pulih sehingga ke hari ini.
”Buat masa sekarang, saya tengah berusaha untuk kembali cergas dan harap-harap sekurang-kurangnya semasa pertemuan dengan Singapura nanti, saya dapat bermain.
”Saya memang hendak bermain, siapa yang tidak mahu, setelah sudah dua kali tidak disenaraikan, saya lihat ini peluang terbaik kembali meraih perhatian jurulatih tambahan persaingan merebut tempat dalam skuad kebangsaan semakin sukar,” katanya.
Selain Khyril, pertahanan Selangor, Asraruddin Putra Omar juga dibelenggu kecederaan di bahagian lutut dan turut bergelut untuk pulih 100 peratus.
Utusan Malaysia

No comments:
Post a Comment