Friday, 20 April 2012

Kedah FA 2012: Vedran Gerc tunjuk belang


Pemain import baru Kedah, Vedran Gerc yang diturunkan buat pertama kali berjaya membuktikan sentuhan bisanya apabila meledak dua gol ketika membantu kemenangan 2-0 skuad Kenari ke atas Sarawak di Stadium Negeri, Kuching malam kelmarin.

Jaringan pemain dari Crotia itu pada minit ke-55 dan ke-61 membantu skuad Hijau Kuning meraih tiga mata berharga bagi keluar dari kelompok tercorot liga.

Namun, kemenangan itu belum mampu memuaskan hati pengurusan pasukan yang melihat pemain berusia 26 tahun itu perlu meningkatkan lagi prestasinya dalam saingan baki liga yang masih panjang.

Pengurus pasukan, Datuk Khazali Din memberitahu, rakan sepasukan lain juga perlu mempamerkan aksi yang lebih baik bagi memastikan pasukan dapat memberi tentangan sengit kepada pasukan lain.

Teguran itu, katanya bukan bermakna pemain tidak beraksi dengan baik sehingga mampu mencatat kemenangan di tempat lawan, namun sebenarnya mereka boleh bermain dengan lebih cemerlang.

“Pemain menunjukkan komitmen dan kesungguhan untuk menang dan mereka berjaya memilikinya. Namun mereka tidak menunjukkan taring sebenar kerana mereka mampu bermain dengan lebih baik lagi.

“Kedah mampu menang dengan lima jaringan, namun beberapa peluang gagal dimanfaat dengan baik,” katanya.
Selain Gerc, penyerang, Mohd. Khyril Muhymeen Mohd. Zambri dan Mohd. Fiqkry Md. Isa turut berpeluang menjaringkan gol.

Menurut Khazali, Gerc masih belum dapat menyesuaikan diri dan jarang menerima bola daripada rakan sepasukan.
Namun katanya, masa perlu diberikan kepada penyerang itu untuk membina persefahaman dan kombinasi dengan rakan sepasukan lain.

“Keserasian dalam kalangan pemain perlu dipertingkatkan lagi bagi membentuk kombinasi mantap untuk berdepan dengan saingan hebat lawan dalam Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia,” katanya.

UTUSAN MALAYSIA


No comments: