Monday, 26 March 2012

Kedah FA 2011: Tempang tanpa Khyril Muhymeen

Tanpa tonggak utama dan prestasi hambar pemain import, Kedah kini tertekan dalam usaha melayakkan diri ke peringkat separuh akhir Piala FA menentang T-Team di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, Selasa ini.

Penyerang pasukan itu Mohd Khyril Muhymeen Zambri digantung satu perlawanan selepas menerima dua kad kuning pada perlawanan suku akhir malam tadi dan keadaan itu ditambah dengan prestasi kurang memuaskan pemain import pasukan itu Hamidan Mohamed dari Ghana menyebabkan jentera serangan Kedah tempang dan tertekan.
Ketua Jurulatih Kedah, Wan Jamak Wan Hassan berkata beliau akan melihat semula keseluruhan pemain pada sesi latihan yang diadakan dalam tempoh dua hari dan membuat keputusan sama ada Hamidan dapat diturunkan sebagai kesebelasan utama ataupun tidak.
“Saya telah beri peluang kepada Hamidan untuk memperbaiki corak permainannya tetapi malangnya kepercayaan yang diberikan oleh saya dan peminat kepadanya hanya sia-sia kerana dia tidak membalasnya dengan mempamerkan aksi bertenaganya.
“Hamidan sepatutnya menunjukkan kredibilitinya sebagai pemain import yang mampu membantu pasukan mencipta gol kemenangan,” kata Wan Jamak ketika ditemui selepas perlawanan malam tadi.
Dalam saingan suku akhir pertama malam tadi menyaksikan Kedah gagal mencipta sebarang gol apabila sekadar terikat 0-0 kepada T-Team menyebabkan laluan sukar bagi Kedah untuk mencipta kemenangan di gelanggang lawan.
- Bernama -

No comments: