Kedah FA melonjak ke tangga keempat Liga Super Malaysia 2011 selepas menewaskan Perlis FA 2-0 di Stadium Darulaman malam tadi.
Ini bermakna Kedah berjaya memintas Perak FA. Namun, Perak yang sebelum ini mendahului dengan kelebihan jaringan mampu merampas kembali kedudukan mereka jika menewaskan Sabah FA di Stadium TLDM Lumut, petang ini.
Perlis yang masih di tangga tercorot liga dan terdesak memburu tiga mata penuh malam tadi, seakan mampu merealisasikan impian selepas mengekang tuan rumah 0-0 pada babak pertama, tetapi kesilapan kapten pasukan, Azmizi Azmi 2-minit selepas rehat memberi Kedah kelebihan.
Azmizi yang cuba menghantar bola kepada penjaga gol Perlis, Amini Ahmad Tabarani menerusi tandukan ke belakang, sekadar melihat bola tandukannya melepasi jangkauan Amini dan menerjah gawang sendiri untuk gol pertama Kedah.
Kedah yang mendapat suntikan semangat hasil gol berkenaan, terus mengasak dan hanya memerlukan empat minit menggandakan jaringan apabila Faizal Abu Bakar bijak menguis bola yang diumpan cantik V.Thirumurugan.
Malang terus menimpa Perlis apabila terpaksa bermain dengan 10 orang selepas Hadi Syahmi menerima kad kuning kedua kerana mengasari Baddrol Bakhtiar.
Perlawanan malam tadi satu-satunya saingan Liga Super yang berlangsung dengan 6 perlawanan lain berlangsung, hari ini.

No comments:
Post a Comment