Friday, 2 January 2009
Kedah FA 2009: Mengapa status saya dipertikai?
HATINYA mungkin sudah tawar untuk terus memikul tanggungjawab selaku Pengurus Kedah, tetapi Datuk Othman Aziz bertegas betapa tiada sengketa terjelma di antaranya dan ketua jurulatih, Azraai Khor Abdullah.
"Sebelum ini, ada kaitkan kekeruhan hubungan saya dengan Azraai sebagai punca saya tidak mengiringi pasukan pada setiap perlawanan.
"Malah yang terbaru, wujud pula cerita bahawa tiga individu akan mengundurkan diri jika saya terus kekal sebagai pengurus.
"Saya ingin tegaskan sepanjang menjadi pengurus, saya tidak pernah bergaduh dengan sesiapapun, termasuklah Azraai. Apa yang saya tahu ialah saya hanya mahu jalankan tugas yang diamanahkan," katanya.
Penjelasan itu hadir ekoran desas desus bahawa tiga individu - Azraai, penolong jurulatih, Radhi Mat Din dan jurulatih penjaga gol, Ahmad Sobri Ismail - akan menarik diri jika dia terus memimpin pasukan itu.
Ianya juga tercetus daripada kemelut dalaman Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) membabitkan status Othman selaku pengurus hingga mendorong persatuan itu tidak mendaftarkan namanya dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
"Saya akan bertemu Presiden KFA yang juga Menteri Besar, Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dalam tempoh terdekat untuk membincangkan perkara ini. Memang ada wakil menghubungi saya untuk mengadakan pertemuan itu.
"Sebenarnya, perkara ini tidak rumit. KFA sebelumnya persoalkan surat pengesahan semula saya sebagai pengurus kerana saya pernah umumkan untuk meletakkan jawatan.
"Saya sudah bertemu Timbalan Presiden KFA, Datuk Wira Syed Unan Mashri Syed Abdullah dan sudah bersetuju menarik balik hasrat meletak jawatan. Jadi, saya hairan mengapa status saya dipertikaikan hingga KFA tidak mendaftarkan nama saya," jelasnya.
Mengulas keinginannya untuk kembali, Othman mengakui agak tawar hati ekoran pelbagai kekecohan yang timbul, tetapi menegaskan kata putus akan hanya dibuat selepas pertemuan dengan Azizan nanti.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment