AKSI longgar dalam perlawanan Sumbangsih Sabtu lalu, memaksa penjaga gol utama Kedah, Helmi Eliza Elias memberi laluan kepada Mohd Al-Hafiz Hamzah, bagi pertemuan dengan Negeri Sembilan dalam Liga Super di Paroi, malam ini.
Ini disahkan jurulatih Kedah, Mohd Azraai Khor Abdullah yang menjelaskan Helmi yang juga penjaga gol kebangsaan, yang melepaskan tiga gol mudah ketika Malaysia tewas 3-2 di tangan Vietnam sewaktu Piala Suzuki-AFF bulan lalu, akan direhatkan buat seketika.
“Al Hafiz wajar diberi peluang sekali lagi apa lagi selepas beraksi dengan baik ketika menggantikan Helmi ketika pertemuan dengan Selangor,” katanya.
Azraai mengakui perlawanan malam ini adalah penting bagi skuad Hijau Kuning selepas kehilangan mata berharga sesudah diaibkan Selangor 4-1, Sabtu lalu.
“Pemain saya sudah dapat mengatasi kekecewaan di Stadium Darulaman dua hari lalu dan kini mereka mengetahui apa yang perlu dilakukan untuk memastikan tidak pulang dengan tangan kosong.
“Kejayaan Negeri Sembilan meraih kemenangan di Pulau Pinang Sabtu lalu, pasti menyukarkan lagi usaha pemain saya untuk memastikan tidak berputih mata buat kali kedua berturut-turut tetapi saya yakin mereka mampu melakukannya,” kata Azraai.
Beliau menjelaskan, ketika diaibkan Selangor, prestasi anak buahnya bukanlah seteruk mana tetapi mengakui malam itu adalah milik Selangor.
“Memandangkan perlawanan itu adalah aksi sulung, ada juga pemain yang gementar sedikit tetapi prestasi pada separuh masa kedua jelas lebih baik dan saya pasti jika diulangi di Paroi, ia akan mencerahkan harapan kami untuk membawa pulang mata.
“Saya mahu pemain melupakan malam hitam di Alor Star dan menumpukan perhatian terhadap perlawanan esok malam ini) kerana Liga Super masih panjang lagi dan tidak ada pasukan gagal menjuarai liga hanya kerana kalah pada perlawanan pembukaannya,” kata Azraai.
No comments:
Post a Comment