Hasrat Kedah untuk meminjam pemain kembar dari pasukan Negeri Sembilan bagi membantu skuad Hijau Kuning mengharungi perlawanan suku akhir Piala AFC tidak kesampaian apabila tidak sempat mendaftarkan mereka sebelum 31 Ogos lalu.
Ini berikutan wujudnya masalah yang tidak dapat dielakkan berhubung pelepasan Mohd. Aidil Zafuan dan Mohd. Zaquan Adha Abdul Razak untuk menyertai pasukan Sang Kenari sehingga tarikh akhir pendaftaran pemain untuk perlawanan berkenaan ditutup pada Ahad lepas.
Apa pun, ketua jurulatihnya, Mohd. Azraai Khor Abdullah berkata, beliau menaruh sepenuh kepercayaan kepada pemain sedia ada untuk menggalas cabaran Kedah pada perlawanan tersebut.
Menurutnya, Kedah berhasrat meminjam pemain tempatan dari pasukan lain supaya mempunyai lebih pilihan dalam kesebelasan utama selepas kehilangan pemain importnya.
Bagaimanapun, kata beliau, kegagalan mendapatkan khidmat pasangan kembar itu tidak akan menjejaskan rentak dan tumpuan anak buahnya menjelang perlawanan berkenaan.
“Saya tetap yakin dengan kemampuan barisan sedia ada sebagaimana yang telah dibuktikan mereka sebelum ini,” katanya.
Sang Kenari sebelum ini dikatakan berminat meminjam kedua-kedua pemain muda itu bagi membantu mereka mengharungi perlawanan suku akhir Piala AFC.
Dalam perlawanan suku akhir pertama pada 16 September ini, Kedah yang meraih tiga gelaran juara Liga Malaysia dua musim berturut-turut akan bertandang ke Bahrain untuk menentang pasukan Al Muharraq manakala perlawanan pusingan kedua di sini akan berlangsung pada 23 September.
Sementara itu, Mohd. Azraai berkata, waktu latihan skuad Sang Kenari akan ditukar kepada sebelah malam bermula Isnin ini sebagai persiapan rapi menghadapi perlawanan peringkat kalah mati itu.
“Latihan pada sebelah malam akan diadakan selepas solat sunat tarawih. Buat masa sekarang, pemain-pemain hanya mengadakan latihan ringan pada sebelah petang bermula kelmarin bagi mengekalkan tahap kecergasan mereka,” katanya.
No comments:
Post a Comment