Thursday, 14 August 2008

Kedah FA 2008: Azraai tetap waspada berdepan Terengganu; semi-final Piala Malaysia


Jurulatih itu mahu memastikan tiada pemain Kedah beraksi sambil lewa bagi mencapai kemenangan
Azraai Khor
KETUA jurulatih Kedah, Mohd Azraai Khor Abdullah mahu pemainnya lebih berwaspada ketika berdepan Terengganu pada perlawanan separuh akhir pertama di Stadium Darulaman malam ini walaupun lawan tidak dibarisi pemain import.
Menurutnya, Terengganu sudah membuktikan keupayaan apabila mengatasi Perlis yang lebih berpengalaman dan dibarisi tiga pemain import di Kangar, Sabtu lalu.
“Saya mahu memastikan tiada pemain yang terbawa dengan sifat mengambil mudah dan beraksi sambil lewa bagi mencapai kemenangan esok (malam ini).
“Pemain perlu ingat esok (malam ini) adalah perlawanan terakhir musim ini di Stadium Darulaman yang pasti dipenuhi 35,000 peminat setia dan inilah peluang terbaik untuk membalas segala jasa mereka yang memberi semangat dan sokongan sejak awal musim sehingga Kedah berjaya menjuarai Liga Super dan Piala FA.
“Pemain juga harus mengambil kesempatan mencari kemenangan selesa yang akan memudahkan tugas ketika beraksi di Terengganu, Sabtu ini. Lawan kita juga adalah salah sebuah pasukan yang pernah menewaskan kita 3-1 di Kuala Terengganu dalam perlawanan liga musim ini,” kata Azraai.
Azraai berkata, dia akan menentukan sama ada terus merehatkan tonggak tengah, Ahmad Fauzi Shaari ataupun menyenaraikannya dalam kesebelasan utama menjelang beberapa jam sebelum perlawanan.
“Saya tidak mahu mengambil risiko menamakan Fauzi pada perlawanan esok (malam ini) dengan tergesa-gesa kerana mahu memastikan dia pulih sepenuhnya daripada kecederaan sebelum memberi peluang untuk bermain.
“Saya yakin kesebelasan yang diturunkan esok (malam ini) mampu menjalankan tugas untuk mencapai matlamat meraih kemenangan yang diidamkan oleh pihak pengurusan dan ribuan peminat Hijau Kuning.
“Saya tetap menaruh harapan dengan kombinasi Marlon Alex James, Khyril Muhymeen Zambri dan Baddrol Bakhtiar untuk merobek pertahanan kental Terengganu seperti yang dibuktikan ketika mereka menghampakan rangkaian serangan Perlis Sabtu lalu,” kata Azraai.

No comments: