Monday, 18 June 2012

Harimau Malaya mula pamer perwatakan juara

KUALA LUMPUR - Skuad Harimau Malaya menunjukkan perkembangan yang positif dalam persediaannya untuk mempertahankan Piala Suzuki AFF November ini menerusi keputusan seri dan menang ke atas Singapura, baru-baru ini.



Bekas pemain kebangsaan, Shahril Arsat berkata, ia dapat dilihat pada kemampuan pemain menangani tekanan di gelanggang lawan, malah pada satu ketika mampu mendahului dua gol selain disokong dengan kemenangan 2-0 di gelanggang sendiri.


"Inilah perwatakan sebenar yang perlu dimiliki juara dan antara yang terpapar pada siri persahabatan itu apabila mampu menangani tekanan di gelanggang lawan dan garang di tempat sendiri," katanya.


Harimau Malaya diikat Singapura 2-2 di Stadium Jalan Besar pada 8 Jun lalu sebelum menang dengan meyakinkan 2-0 di Stadium Shah Alam, empat hari kemudian sekali gus menutup mulut pengkritik yang mengecam mereka setelah sekadar seri 0-0 dengan Filipina, awal bulan ini.


Penolong jurulatih Felda United yang juga bekas pemain Selangor, Pulau Pinang dan KL PLUS itu ditemui pada majlis pelancaran Klinik Bola Sepak First Kick Football Training Centre di Sekolah Kebangsaan Cheras Jaya di sini, semalam.


Klinik tersebut katanya, yang turut melibatkan seorang lagi penolong kelab Kuala Lumpur itu selaku Pengerusi Eksekutif First Kick Academy, Ridzuan Abu Shah, merupakan yang pertama melibatkan kerjasama dengan sekolah rendah.


"Sebelum ini klinik bola sepak cuma diadakan dengan persatuan penduduk atau taman perumahan, kini kami mengalu-alukan mana-mana pihak mahupun sekolah termasuk di luar Lembah Klang, mengadakan kerjasama dengan kami.


"First Kick Academy ditubuhkan pada 2009, mahu membantu murid sekolah rendah khususnya menguasai kemahiran asas bola sepak," katanya sambil menjelaskan, setiap peserta program dikenakan yuran pendaftaran RM50, yuran bulanan RM50 dan jersi serta peralatan, RM150.


First Kick Academy yang beralamat di G33, Jalan SBC12, Taman Sri Batu Caves, 68100 Batu Caves, Selangor, juga boleh dihubungi menerusi talian 013-3644074 (Ridzuan Abu Shah) dan 019-3210777 (Shahril Arsat) atau 012-3010564 (Shahli Ismail).


Sumber: utusan.com.my

No comments: