KEMENANGAN perlu direalisasi skuad
negara apabila menentang Sri Lanka dalam aksi persahabatan berstatus A
di Stadium Shah Alam, Sabtu depan bagi ‘menggembirakan’ penyokong tempatan.
Ini kerana kemenangan terakhir diraih
skuad kendalian Datuk K Rajagobal di pentas antarabangsa kira-kira 10
bulan lalu apabila menewaskan Taiwan, 2-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 29 Jun 2011.
Selepas itu penyokong dan peminat negara
hanya disajikan keputusan seri dan kekalahan menentang Singapura (dua
perlawanan), Australia, India (dua perlawanan) dan terakhir bangkit
mengikat Filipina 1-1 pada Februari lalu.
Hakikat itu turut diakui pemain sayap negara, Wan Zack Haikal Wan Nor yang menyifatkan kemenangan diperlukan bagi memberi kepuasan kepada penyokong dan peminat skuad negara.
“Kami akan berusaha mencipta kemenangan
terutamanya bagi memberi ‘hadiah’ kepada mereka yang sentiasa memberikan
sokongan. Walaupun tanpa kehadiran sejumlah pemain utama, saya yakin
kami tidak akan berdepan masalah untuk melakukannya,” katanya yang
dipanggil kali kedua menyertai skuad negara.
Namun pemain muda berusia 21 tahun itu
tetap mengingatkan diri sendiri dan rakan sepasukan agar tidak mengambil
mudah lawan yang berada di ranking lebih rendah berbanding skuad negara
iaitu ke-181 dunia.
“Kami perlu sentiasa berwaspada
sepanjang perlawanan berlangsung. Sebarang kemungkinan atau keputusan di
luar jangkaan boleh berlaku jika lalai,” kata pemain Harimau Muda A
itu.
Bagi perlawanan itu, Rajagobal tidak
memanggil sejumlah tonggak utama yang beraksi untuk Kelantan dan
Terengganu dalam Piala AFC sekali gus memberi peluang kepada pemain lain
untuk membuktikan kemampuan namun penyerang sensasi negara, Mohd Safee
Sali dijangka menjadi harapan utama merobek gawang Sri Lanka.
Harian
Metro
No comments:
Post a Comment