Tuesday, 7 October 2008

Kedah FA 2008: Lamar 5 muka baru


JUARA treble, Kedah bakal dimantapkan lagi dengan kehadiran beberapa muka baru pada saingan Liga Super Malaysia musim 2009. Difahamkan, skuad Hijau Kuning itu sedang mengadakan perbincangan peringkat akhir dengan lima pemain iaitu dari Selangor, Perak, Kelantan dan Terengganu.
Yang pasti, pemain idaman ketua jurulatih Kedah, Mohd. Azraai Khor Abdullah adalah pemain yang mempunyai kebolehan untuk menggalas tanggungjawab yang ditinggalkan bekas tonggak import, Marlon Alex James, Nelson Sam Martin dan Cornellius Bernard Hugging.
Menurut Azraai, Kedah kini telah mengenalpasti beberapa pemain baru untuk membawa misi pasukannya bagi mengharungi musim 2009 yang bermula Januari depan.
Jelasnya, perbincangan yang sedang dilakukan dengan pemain terbabit tidak melibatkan tawaran gaji lumayan, sebaliknya pihak Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) mempunyai cara yang tersendiri bagi memikat mereka.
“Kedah tidak akan menjadikan wang sebagai umpan untuk mendapatkan pemain terbaik dan bagi setiap pemain yang akan bersama pasukan ini, mereka akan diberi gaji yang berpatutan mengikut persetujuan yang telah dipersetujui dengan KFA.
“Saya tidak mahu pemain yang datang untuk menyarung jersi Hijau Kuning semata-mata kerana duit dan tidak berminat untuk melakukan yang terbaik ketika bermain bola sepak bersama pasukan ini,” kata Azraai.
Katanya lagi, Kedah terpaksa melupakan hasrat untuk mendapatkan khidmat pasangan kembar dari Negeri Sembilan, Aidil Zafuan dan Zaquan Adha Abdul Radzak kerana beberapa masalah.
Begitupun Azraai berkata, dia sedang berbincang untuk menyambung kontrak pemainnya yang telah mengharumkan nama Kedah sebelum ini.
“Kedah masih memerlukan pemain yang telah menaikkan nama pasukan ini pada musim lalu dan penyambungan kontrak pemain itu akan diselesaikan secepat mungkin,” ujarnya.

No comments: